4:33 PM

Aktiviti 1: Kaji Latar belakang Pengasas Pengkomputeran


Kawan-kawan sedar tak, setiap hari kita menggunakan internet untuk update blog, surf dan sebagainya tapi pernah tak kita terfikir sejak bila benda ni wujud dan siapa yang bertanggungjawab mewujudkannya?

Memandangkan dah ambil subjek pendidikan komputer rasanya tak kena kalau kita tak tahu siapa yang telah mencipta pelbagai perisian yang canggih2 sampai kita semua dapat guna dan menikmatinya... Selama ini, saya cuma tahu Bill Gates sorang aje... Yang lain tu, tak berapa nak tahu hehee...

Jadi, check it out...
1) Bill Gates - Pengasas Microsoft

 


Bill Gates adalah salah seorang yang paling berpengaruh di dunia. Boleh dikatakan hampir semua pengguna komputer menggunakan perisian Microsoft. Menurut Forbes majalah, Bill Gates adalah manusia yang terkaya di dunia dan telah berada di kedudukan nombor satu selama beberapa tahun.

Gates telah dilahirkan dan membesar di Seattle, Washington USA. Bapanya, William H Gates II adalah seorang peguam dan ibunya, Mary Maxwell Gates adalah seorang guru sekolah dan pengerusi kebajikan United Way. Gates dan dua orang kakaknya telah mendapat didikan yang sempurna. Gates bersekolah di Lakeside School For Boys, sebuah sekolah elit di Seattle.

Bill Gates menyambung pengajian di Universiti Harvard dalam 1973 di mana dia berjumpa dengan Paul Allen. Gates dan Allen mempelajari bahasa pengaturcaraan BASIC, yang merupakan asas untuk MITS Altair (mikrokomputer pertama boleh didapati). Gates memulakan syarikat pertamanya dengan usahasama bersama Paul Allen dan Paul Gilbert yang dipanggil Traf-O-Data. Walau bagaimanapun apabila umur Bill Gates diketahui, syarikat mereka kehilangan hampir kebanyakan peluang perniagaan.

Bill Gates dan Microsoft Corporation

Bill Gates kemudiannya menubuhkan syarikat, Micro-Soft, bersama Paul Allen dan mengambil cuti belajar dari Harvard untuk memulakan perniagaan barunya. Microsoft BASIC menjadi perisian yang popular kepada ramai pengemar komputer dan sumber kodnya disalin dan diedar secara meluas kepada komuniti peminat komputer. Pada Februari 1976, Gates menulis surat terbuka kepada pengemar (Open Letter to Hobbyists) di dalam risalah MITS, yang menjelaskan bahawa MITS tidak boleh meneruskan pengeluaran, mengedar dan mengekalkan perisian yang berkualiti tinggi tanpa bayaran. Penjelasan itu tidak diendahkan oleh oleh ramai pengemar komputer tetapi Bill Gates tetap dengan pendiriannya bahawa pembina perisian berhak mendapat bayaran di atas kerjanya. Microsoft memutuskan kerjasamanya dengan MITS pada penghujung 1976 dan meneruskan pembinaan bahasa pengatucaraan perisian (programming language software) untuk pelbagai sistem.

Selain dari Microsoft, Bill Gates juga ada membuat pelaburan di dalam syarikat lain. Beliau membuka syarikat Corbis, syarikat imej digital pada tahun 1989. Pada tahun 2004, beliau menjadi pengarah di Berkshire Hathaway, syarikat pelaburan yang diketuai oleh rakannya Warren Buffett.

Kekayaan, Dana & Kebajikan Bill Gates 

Bill Gates telah tersenarai di dalam majalah Forbes sebagai antara manusia terkaya di dunia. Pada tahun 2000, Bill Gates menubuhkan Bill & Melinda Gates Foundation, sebuah yayasan amal bersama isterinya. Yayasan ini memberi dana termasuk biasiswa kolej kepada yang kurang berkemampuan untuk membayar yuran pelajaran, ubat-ubat untuk AIDS, membantu pesakit-pesakit di negara-negara dunia ketiga dan banyak lagi.

Dalam tahun 2000 juga, yayasan ini telah menyumbangkan USD$210 juta kepada Universiti Cambridge di atas nama Gates Cambridge Scholarships. Yayasan Bill & Melinda Gates juga telah menyumbangkan lebih dari USD$7 juta kepada banyak organisasi termasuk United Negro College Fund.


Anugerah & Penghormatan

Majalah TIME menamakan Bill Gates sebagai orang nombor 1 dalam 100 yang paling berpengaruh untuk abad ke-20 dan juga pada tahun 2004, 2005 dan 2006. Majalah TIME juga menamakan Bill Gates dan isterinya sebagai “Persons of the Year” pada tahun 2005 untuk sumbangan besar yang diberi di dalam misi kemuanusiaan. Pada tahun yang sama, Bill Gates dianugerahkan darjah kesatriaan “Knight Commander of the Order of the British Empire” daripada Ratu Elizabeth II. Pada tahun 2006, beliau dianugerahkan dengan “Premio Príncipe de Asturias en Cooperación Internacional”. Bill Gates juga mendapat tempat ke-8 oleh majalah New Statesman pada tahun 2006 sebagai "Heroes of our time”.

2) Larry Page & Sergey Brin - Pengasas Google



Biodata Larry Page
 
Lawrence "Larry" Page lahir pada 26 Mac 1973, adalah seorang pakar komputer berbangsa Amerika dan dikenali sebagai cofounder Google Inc. Page dilahirkan dalam keluarga Yahudi di East Lansing, Michigan. Ibubapanya adalah profesor sains komputer di Michigan State University. Minatnya terhadap komputer bermula semasa beliau berumur 6 tahun. Page menjadi kanak-kanak pertama di sekolah rendahnya yang menghantar tugasannya dengan menggunakan word processor. Page bercita-cita untuk mencipta  teknologi baru dan berhasrat untuk membuka syarikatnya sendiri.

Page menghadiri Okemos Montessori School bermula tahun 1975 hingga 1979 dan menamatkan pengajian di East Lansing High School pada 1991. Page adalah pemegang ijazah sarjanamuda sains  dengan kepujian dalam kejuruteraan komputer daripada University of Michigan dan ijazah sarjana dalam Sains Komputer daripada Stanford University. Semasa di University of Michigan, Page telah mencipta pencetak inkjet dan Lego bricks serta menjadi ahli kumpulan kereta solar.

Selepas mendaftar sebagai pelajar PhD dalam sains komputer di Stanford University, Page telah mencari tajuk berkaitan penerokaan ciri-ciri matematik dalam World Wide Web, dan memahaminya struktur hubungannya sebagai satu graf yang besar. Page kemudiannya fokus kepada masalah untuk mencari laman web yang manakah berhubung dengan laman yang diberi dengan cara mempertimbangkan bulangan dan ciri hubungan tersebut. Dalam projek kajiannya yang dipanggil 'BackRub', Page bekerjasama dengan Sergey Brin, juga pelajar PhD di Stanford.

Bagi menukarkan data backlink yang diperolehi oleh BackRub kepada pengukuran kepentingan sesuatu laman web yang dicari, Page telah membangunkan algoritma PageRank dan Page sedar bahawa ia boleh digunakan untuk membina sebuah enjin pencarian yang lebih hebat daripada enjin carian yang ada ketika itu. Pada Ogos 1996, versi awal Google telah dilancarkan dan masih lagi bertapak di laman web Stanford University.

Biodata Sergey Brin

Sergey Brin dilahirkan pada 21 Ogos 1973 adalah seorang saintis komputer Amerika yang dilahirkan di Moscow, Rusia dan terkenal sebagai cofounder Google Inc. Ayahnya adalah profesor matematik di University of Maryland dan ibunya adalah seorang saintis penyelidik di NASA's Goddard Space Flight Center. Brin berhijrah ke Amerika ketika berusia 6 tahun. Merupakan lulusan ijazah sarjanamuda dari University of Maryland dan Brin mengikut jejak langkah  ayah dan datuknya dengan mengikuti pengajian dalam matematik dan sains komputer. Selepas tamat belajar, Brin meneruskan pengajiannya di Stanford bagi memperolehi PhD dalam bidang sains komputer. Brin kemudiannya bertemu dengan Page. Mereka mengaplikasikan sistem perlombonga data (data mining) Brin untuk menghasilkan sebuah enjin carian yang hebat. Aplikasi itu kemudiannya menjadi popular di Stanford dan mereka menangguhkan pengajian PhD mereka memberi fokus kepada pembangunan enjin carian Google.

3) Mark Zuckerberg, Eduardo Saverin, Dustin Moskovitz & Chris Hughes - Pengasas Facebook



Facebook adalah sebuah laman sosial yang diperkenalkan pada tahun 2006 oleh seorang mahasiswa Harvard yang bernama Mark Zuckerberg. Mark Elliot Zuckerberg atau Mark Zuckerberg dilahirkan pada 14 Mei 1984 di Dobbs Ferry, Westchester County, New York, Amerika Syarikat (AS).

Zuckerberg mendapat idea untuk membangunkan Facebook semasa beliau bersekolah di Exeter High School, New Hampshire. Ketika itulah dia berkenalan dengan Adam D’Angelo. Semasa di Harvard University, Zuckerberg telah membuat program Coursematch. Projek seterusnya, beliau membuat facemash.com. Melalui aplikasi ini para pengunjungnya boleh menghantar gambar pelajar lain. Kesannya pihak pentadbiran universiti Harvard telah memanggil Zuckerberg kerana dianggap telah mencerobohi sistem keselamatan komputer kampus, melanggar peraturan privasi di internet dan melanggar hak cipta.

Oleh sebab itu Zuckerberg telah mencipta facebook dan dilancarkan pada tahun 2004. Dalam masa yang singkat, hampir dua pertiga mahasiswa menjadi pengguna Facebook. Rakan sebiliknya, Dustin Moskovitz dan Chris Hughes berjaya mengembangkannya ke Universiti Stanford, Columbia, Yale, Ivy College dan beberapa sekolah lainnya di wilayah Boston. Dalam masa yang singkat mereka telah melancarkan Fcebook ke 30 buah sekolah.

Zuckerberg dan Moskovitz serta beberapa orang rakannya telah berpindah ke Palo Alto, California ketika musim panas tahun 2004 dengan menyewa sebuah rumah kecil sebagai pejabat mereka. Mereka meninggalkan Harvard kerana ingin memberi fokus kepada Facebook dengan serius. Di pejabatnya itulah Zuckerberg bertemu dengan Peter Thiel, pembangun Paypal yang telah memberi dana sebanyak $500 000 dan membolehkan mereka berpindah ke pejabat yang lebih besar di Universiti Avenue.

Pada 23 Ogos 2005, Zuckerberg telah membeli domain facebook.com dari Aboutface Corporation bernilai $200 000. Pada 2 September 2005, Zuckerberg melancarkan aplikasi Facebook khusus untuk pelajar-pelajar sekolah menengah atas. Dalam masa 15 hari selepas pelancarannya, sebahagian besar sekolah di AS menjadi ahlinya. Pada akhir tahun 2005, Facebook telah berkembang ke hampir 2000 kampus dan 25000 sekolah menengah atas di AS, Kanada, Mexico, Puerto Rico, Australia & Ireland.

Pada 27 Februari 2006, Zuckerberg telah membenarkan para mahasiswa yang menjadi pengguna aplikasi itu untuk menambah kenalan mereka dari kalangan pelajar sekolah menengah atas. Zuckerberg pernah ditawarkan untuk menjual Facebook tetapi dia telah menolak kerana nilai yang ditawarkan dianggapnya terlalu murah.

Pada April 2006, pelabur pertama Facebook iaitu Peter Thiel, Greylock Partners dan Meritech Capital Partners telah menambah pelaburan mereka dengan memberi dana US$25 juta. Facebook telah berkembang ke India melalui India Technology Institute dan India Management Institute.

Facebook juga menawarkan ciri-ciri baru yang membolehkan pengguna 'tag', memasukkan gambar dan lain-lain. Pengguna juga boleh meng'import' blog dari Xanga, LiveJournal, Blogger dan aplikasi blog yang lain. Dengan ciri baru tersebut, pengunjung boleh memberi komen terhadap sebarang tulisan yang dimuatkan dalam Facebook. Pada September 2006, Zuckerberg telah membuka aplikasi Facebook kepada semua pengguna internet. Facebook juga menawarkan ciri yanh dipanggil Facebook Marketplace dan Facebook Beacon untuk tujuan perniagaan dan pengiklanan secara online. Sehingga kini Facebook telah berjaya mencapai keuntungan lebih US$3 juta, walabagaimanapun Zuckerberg tetap tampil sebagai pemuda biasa yang lebih suka hidup secara sederhana.

4) Stephen Gary "Woz" Wozniak, Steve Jobs & Ronald Wayne - Pengasas Apple Computer 




Biodata Stephan Gary "Woz" Wozniak 

Stephen Gary "Woz" Wozniak dilahirkan pada 23 Ogos 1950 merupakan seorang jurutera komputer Amerika serta pengasas Apple Computer bersama dengan Steve Jobs. Wozniak telah mencipta komputer Apple I dan Apple II. Apple II telah menjadi komputer terlaris pada dekad 1970-an dan awal 1980-an.

Wozniak berketurunan Ukraine dan mempunyai banyak nama samaran termasuk "Woz", "Wizard of Woz" dan "iWoz". "WoZ" adalah singkatan untuk "Wheel of Zeus" juga nama syarikat yang diasaskan oleh Wozniak Wozniak juga dikenali sebagai "Other Steve" dari Apple Computer selain Steve Jobs, iaitu pengasas bersamanya yang bertindak sebagai Ketua Pegawai Eksekutif kini. Untuk membezakannya dengan Steve Jobs, beliau dirujuk sebagai "Woz" walaupun kedua-dua mereka itu mempunyai nama pertama yang sama.


Asal Usul Apple

Wozniak dilahirkan di San Jose, California, AS. Steve Jobs menyertai syarikat Wozniak. Jobs mempunyai perniagaan menjual komputer. Pada mulanya, Wozniak ragu-ragu terhadap gagasan itu tetapi kemudian diyakinkan oleh Jobs bahawa walau jika mereka gagal, sekurang-kurangya mereka dapat memberitahu cucu mereka bahawa mereka pernah memiliki syarikat sendiri. Mereka memasang prototaip pertama di bilik tidur Jobs dan kemudian berpindah di garaj Jobs. Wozniak membangunkan permainan komputer yang serupa dengan SuperPong tetapi mempunyai suara latar yang mengikut kerlipan skrin. Wozniak selalu membawa peranti elektronik bersama-samanya dan menghibur tetamu parti dengan peranti baharunya.

Pada tahun 1975, Wozniak menangguh pengajian dari University of California, Berkeley tetapi kemudian kembali untuk meneruskan pengajiannya dalam kejuruteraan elektrik dan sains komputer (EECS) dan memperoleh ijazah sarjanamuda sains pada 1986 dan mencipta sebuah komputer.

Pengasasan Apple Computer

Pada 1 April 1976, Jobs dan Wozniak mengasaskan Apple Computer. Keluaran pertama mereka, komputer Apple I menyerupai Altair 8800, komputer peribadi yang pertama berjaya dalam pasaran. Apple I dibangunkan dengan mikropemproses (MOS 6502) berharga AS$25 pada papan litar tunggal yang memiliki 256 bait ROM, 4 KB atau 8 KB RAM, serta pengawal paparan 40 aksara  x 24 baris. Ia tidak mempunyai selongsong, bekalan kuasa, papan kekunci atau monitor yang perlu dibekalkan sendiri oleh pengguna. Apple I dijual pada harga AS$666.66. Wozniak kemudian mengatakan bahawa beliau tidak tahu tentang kaitan antara angka harga itu dengan lambang hantu  yang diceritakan di dalam Bible tetapi menyatakan bahawa beliau hanya "suka akan angka berulangan". Jobs dan Wozniak menjual 100 buah komputer yang pertama kepada Paul Terrell yang baru sahaja membuka kedai komputernya, Byte Shop, di Mountain View, California. Terrell hanya membeli papan litar Apple I dan perlu sendiri membekalkan papan kekunci, monitor, dan pengubah serta serongsong komputer.


Wozniak kini dapat menumpukan sepenuh masanya untuk memperbaiki kelemahan Apple I dan menambahkan fungsi baru. Reka bentuknya yang baru mengekalkan ciri komputernya yang paling penting, iaitu kesederhanaan dan kebolehgunaan. Wozniak memperkenalkan grafik leraian tinggi dalam komputer Apple II. Komputernya kini bukan sahaja dapat memaparkan aksara, tetapi juga gambar. Wozniak juga membangunkan kebanyakan daripada perisian awal yang dibekalkan bersama-sama Apple seperti pentafsir  bahasa pengaturcaraan (SWEET 16) dan permainan Breakout.
Pada 1980, Syarikat Apple Computer dijadikan sebuah syarikat awam dan Wozniak memutuskan untuk  berkongsi sebahagian saham dengan pasukan pekerja, baik secara percuma mahupun pada diskaun yang tinggi. Perbuatan Wozniak ini kini digelar sebagai "Rancangan Woz".

Mengakhiri Pekerjaan dengan Apple

Wozniak pernah mengalami kemalangan apabila pesawat yang dipandunya terhempas. Wozniak tidak segera kembali bekerja dengan Apple selepas sembuh daripada kemalangan tersebut. Sebaliknya, beliau mengahwini Clark dan kembali ke University of California dengan menggunakan nama "Rocky Raccoon". untuk menamatkan ijazah sarjana mudanya. Wozniak mengakhiri kerja penuh masanya dengan Apple secara kekal pada 6 Februari 1987, 12 tahun selepas mengasaskan syarikat itu namun beliau masih kekal sebagai seorang pekerja dan menerima gaji serta pemegang saham Apple.

Latar belakang Steven Paul Jobs

Steven Paul Jobs dilahirkan pada 24 Februari 1955 merupakan CEO Apple Computer. Jobs membantu mempopularkan konsep komputer rumah melalui Apple II, dan merupakan di antara orang yang pertama menyedari potensi perdagangan Antara Muka Pengguna Bergrafik (GUI) dan tetikus. Beliau menyelia integrasi teknologi-teknologi berkenaan ke dalam Apple Macintosh dan turut mengetuai Apple Computer bagi perkembangan iPod.

Jobs juga merupakan pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Pixar Animation Studios, syarikat penerbitan  yang banyak menerbitkan filem-filem animasi seperti The Incredibles dan Toy Story. The Walt Disney Company telah bersetuju untuk membeli Pixar sebanyak ASD$7.4 bilion. Urus niaga ini akan menjadikan Jobs seorang pemegang saham terbesar dalam Disney dan beliau akan diberikan satu tempat dalam lembaga pengarah syarikat.

Steve Jobs dilahirkan di luar nikah di San Francisco, California oleh Joanne Carole Schieble, ibunya yang merupakan warganegara AS, bapanya Abdulfattah John Jandali berbangsa Syria. Kedua-duanya merupakan penuntut siswazah ketika itu. Bapanya kemudian menjadi profesor sains politik. Seminggu selepas kelahirannya, Jobs diserahkan sebagai anak angkat kepada Paul dan Clara Jobs dari Mountain View, Kaunti Santa Clara, California. Mereka memberinya nama Steven Paul Jobs.

Ibu bapa kandungnya kemudian berkahwin dan melahirkan adik perempuan Jobs, iaitu penulis novel Mona Simpson. Bagaimanapun, perkahwinan ibu bapa kandungnya berakhir dengan penceraian beberapa tahun kemudian. Job tidak suka mendengar Paul dan Clara Jobs digelar "ibu bapa angkat" dan merujuk kepada mereka sebagai ibu bapanya yang tunggal.

Jobs belajar di Sekolah Menengah Cupertino dan kemudiannya di Sekolah Tinggi Homestead di Cupertino, California, dan sering menyertai syarahan-syarahan selepas waktu sekolah di Syarikat Hewlett-Packard di Palo Alto, California. Tidak lama kemudian, beliau diupah oleh Steve Wozniak sebagai pekerja musim panas. Pada tahun 1972, Jobs tamat sekolah tingginya dan mendaftar masuk ke Kolej Reed di Portland, Oregon. Walaupun beliau tercicir selepas satu semester, beliau masih meneruskan kelas-kelas audit seperti seni khat di Reed.

Pada musim luruh tahun 1974, Jobs kembali ke California dan mula menyertai perjumpaan Kelab Komputer Homebrew dengan Wozniak. Beliau bekerja sebagai juruteknik di Atari, sebuah pengilang untuk permainan video yang popular, dengan tujuan utama untuk menyimpan wang yang mencukupi supaya dapat ke India untuk mencari ketenangan. Jobs kemudian mengembara secara menumpang ke seluruh India bersama-sama  Daniel Kottke, kawannya daripada Kolej Reed. Jobs kemudian kembali bekerja di Atari dan ditugasikan untuk mencipta sebuah papan litar untuk permainan Breakout.

Menurut Nolan Bushnell, pengasas Atari, Atari ketika itu menawarkan AS$100 bagi setiap cip yang dikurangkan dalam mesin permainan. Jobs tidak mempunyai sebarang minat atau pengetahuan tentang reka bentuk papan litar dan membuat perjanjian dengan Wozniak bahawa beliau akan membahagikan bonusnya dengan sama rata jika Wozniak dapat mengurangkan bilangan cip tersebut. Yang sungguh menghairankan Atari, Wozniak mengurangkan 50 cip melalui sebuah reka bentuk yang sangat ketat sehingga tidak dapat dikilangkan dengan rangkaian pemasangan. Pada masa itu, Jobs memberitahu Wozniak bahawa Atari hanya membayarnya AS$700 (padahal dia dibayar AS$5,000) dan Wozniak hanya mendapat AS$350.

1 comments:

atif xhaikh said...

I know your expertise on this. I must say we should have an online discussion on this. Writing only comments will close the discussion straight away! And will restrict the benefits from this information.
ivy trust college counseling

Post a Comment